Memilih Bahan Bacaan Yang Sesuai Untuk Melatih Kemahiran Membaca Kanak-Kanak




1.0  Pengenalan

            Terdapat 4 kemahiran bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak pada zaman ini. Kemahiran membaca merupakan antara salah satu daripada kemahiran penting yang perlu mereka menguasainya. Hal ini kerana dengan membaca, seseorang itu dapat menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi daripada pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu menbunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses di mana dapat membina pemikiran seseorang. Dengan membaca, seseorang itu dapat membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik bahan bacaan dengan tepat dan juga dapat memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling.

2.0  Konsep Kemahiran Membaca Dengan Berkesan

            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ’baca’ ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Lado Robert (1964) menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya manakala menurut Siti Hajar Abd Aziz (2009:143) membaca merupakan satu tindakan komunikasi iaitu satu proses berfikir yang melibatkan idea, kenyataan dan perasaan yang disampaikan oleh penulis kepada pembaca melalui perantaraan lambang-lambang bahasa. Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula, beliau menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan, menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan tesebut.

            Secara ringkasnya, seseorang yang mempunyai kemahiran membaca dengan berkesan sememangnya dapat memanipulasikan rangkaian bahasa, petunjuk daripada segi spatial dan visual dan memilihnya secara implisit tetapi berkesan. Kanak-kanak   belajar membaca dengan mengkoordinasi isi, sintaksis dan panduan visual. Begitu juga kanak-kanak  cuba  menyatukan  pengalaman  kehidupannya,  kecekapan  berbahasa  dan pengetahuan mengenai simbol visual dalam muka surat untuk menghuraikan apa yang tertulis dan juga memahami maksud teks (Clay, 2005). 

            Kanak-kanak akan menggunakan ilustrasi untuk meneka  perkataan atau  cerita tersebut sebagai strategi membaca bagi memahami bahan bacaan serta mengenali pengulangan  dan menggunakan  pengulangan  tersebut bagi meneka perkataan, menggunakan huruf awalan perkataan untuk meneka perkataan, mengenali perkataan  yang  telah  selalu  digunakan  seperti;  dan,  yang,  saya,  ada  dan  akhirnya  akan berhenti di hujung ayat kerana memahami fungsi tanda noktah dan juga tanda baca yang lain. Setelah kanak-kanak telah menguasai pelbagai  strategi  membaca,  mereka  dapat membaca dengan lebih lancar. 
3.0 Kesimpulan

            Jika pembaca boleh membaca perkataan-perkataan tetapi tidak memahami apa yang dibacanya, maka dia bukannya membaca (CIERA, 2001).  Kefahaman membaca merupakan keupayaan seseorang itu dapat membina, mentafsir dan menilai sesuatu dengan sepenuhnya tentang perkara yang dibaca. Kefahaman juga merupakan suatu proses mendapatkan makna daripada komunikasi sama ada melalui lisan, tulisan, atau lambang-lambang tertentu (Marohaini, 1989). Tegasnya, seseorang yang mempunyai kemahiran membaca dengan berkesan bukan sahaja dinilai daripada mempunyai kamahiran untuk membunyikan perkataan atau ayat daripada tulisan manakala perlu mamahami maksud perkataan yang dibaca. Seperti yang kita sedia tahu bahawa kemahiran membaca merupakan antara satu daripada kemahiran literasi. Sehubungan dengan itu, kemahiran belajar perlulah dikuasai oleh setiap anggota masyarakat sejak dari kecil lagi. Lanjutan dari situ, sekolah merupakan pihak yang memainkan peranan yang penting dalam melatih murid menguasai kemahiran membaca ini. 




RUJUKAN


Center for the Improvement of Early Reading Achievement [CIERA]. (2001).        Every child      a reader. Dicapai daripada         http://www.ciera.org./library/instresrc/ecr/index.html

Clay, M. M. (2005). An observation survey of early literacy achievement (2nd ed.).           Portsmouth, NH: Heinemann Education.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Lado Robert. 1964. Language teaching: A scientific approach. New York: McGraw-Hill.


Marohaini Yusoff. (1989). Strategi pengajaran bacaan dan kefahaman: Ke arah     kemantapan    pengajaran di sekolah menengah. Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd.

Pumfrey, Peter D (1977). Measuring Reading Abilities: Concepts, Sources and    Applications. London: Hodder & Stoughton.

Siti Hajar Abd Aziz (2009:143). Bahasa Melayu II.  Shah Alam: Selangor Oxford Fajar      Sdn. Bhd.


Zulkifley Hamid (1994). Pembelajaran dan pengajaran bahasa. Kuala Lumpur: Dewan      Bahasa Dan Pustaka.



















































Comments

Popular posts from this blog

Kemahiran Berbahasa